Tampin, 18 November – “Dia sangat mengutamakan saya, kalau keluar ke mana-mana pasti dia bawa saya bersama. Begitu juga apabila makan pasti dia akan ingat saya dan belikan makanan yang saya suka.
“Kehilangan dia memang cukup saya rasai kerana dia anak yang cukup taat.”
Itu kata Salamah Sitam, 68, ibu kepada Allahyarhamah Nur Zalehan Balkish Abdul Majid, 27, yang meninggal dunia selepas dihempap pokok getah yang tumbang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada 10 November lalu.
Salamah berkata, kehilangan anak bongsunya meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada dirinya serta adik beradik lain kerana Nur Zalehan Balkish adalah anak yang mementingkan ibu dan adik beradik lain berbanding dirinya.
Katanya, Nur Zalehan Balkish turut meluangkan masa untuk mengajarnya mengaji al-Quran selain akan mengurut dirinya sebelum tidur.
Salamah berkongsi keperibadian anak perempuannya itu ketika sesi ziarah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan dan barisan pengurusan YaPEIM di rumahnya di Taman Bukit Ria di sini, hari ini.
Dalam sesi itu, Dato’ Haji Mohd Redza Shah turut menyerahkan wang sumbangan hasil kutipan warga YaPEIM kepada Salamah.