Trauma bah besar yang melanda beberapa daerah di negeri Pahang pada 2014 pastinya masih berbekas di ingatan rata-rata penduduk di negeri Pahang Darul Makmur.
Tatkala tujuh tahun sudah berlalu bencana besar seumpama itu kembali menguji rakyat Pahang yang seakan sudah lali dengan apa yang menimpa mereka.
Kru YaPEIM yang menyertai Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi Di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini terpanggil untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar pekan Temerloh dan Mentakab.
Pergerakan kami pada jam 8.30 pagi yang diketuai sendiri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad melalui beberapa kawasan yang boleh dikatakan terjejas teruk apabila masih boleh dilihat kesan air di atap rumah serta lumpur yang menyaluti kediaman di sekitar jalan menuju ke pekan Temerloh.
Pastinya kami berharap ia pulih seperti sediakala walaupun mengetahui ujian ini amat berat. Dengan sumbangan seperti pek RTE, toto, barangan keperluan asas dan banyak lagi diharap mampu meringankan beban mangsa banjir.
Ada yang sempat mengadu perihal rumah yang tidak seperti rumah dan mahukan ia dibersih dan diperbaiki. Rintihan ini kami dengari dengan hati sayu dan berharap ada pihak yang dapat membantu mereka ini.
Sebelum pulang, kami sempat singgah ke Masjid Temerloh Jaya bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan sekitar. Pastinya ada yang masih mengingati kisah yang tular mengenai masjid ini beberapa tahun yang lalu yang mana jemaah Subuh di masjid ini dikatakan penuh seperti solat Jumaat. Tahniah warga Taman Temerloh Jaya dan sekitarnya.
Sumbangan berupa 100 pek RTE diserahkan Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Mohd Ridzal Mohd Sheriff kepada wakil penerima.