PUTRAJAYA, 12 JANUARI 2023 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan memberi manfaat kepada golongan sasar di negara ini menerusi perluasan jaringan perlindungan keselamatan sosial dan pembudayaan amalan berinfaq.
Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Awang @ Musran Tawil berkata, MoU yang termeterai ini membolehkan budaya infaq dapat diperluas kepada seluruh kakitangan PERKESO iaitu sumbangan Sadaqah Jariah yang dibuat melalui infaq gaji serta YaPEIM dapat memperkenalkan aktiviti atau program yang dilaksanakannya melalui pelbagai pendekatan.
Katanya, MoU ini juga akan memudahkan agihan sumbangan yang mana kadar sumbangan balas bagi kerjasama ini adalah sehingga 50 peratus daripada terimaan sumbangan baru yang diterima dan diusahakan oleh pihak PERKESO.
“Kerjasama yang terjalin selama lima tahun ini bakal memberi banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak terutama dalam memperkasakan hubungan baik serta membantu masyarakat yang memerlukan di luar sana.
“Dengan pemeteraian MoU ini juga YaPEIM bersetuju menaja Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO melibatkan asnaf dan usahawan YaPEIM yang tidak mempunyai caruman PERKESO dengan jumlah seramai 1000 orang untuk fasa pertama membabitkan kos berjumlah RM46.60 per asnaf dan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM46,600,” katanya.
Dalam Majlis Menandatangani MoU yang diadakan di Menara PERKESO Putrajaya, PERKESO diwakili oleh Ketua Eksekutif, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed manakala YaPEIM oleh Pemangku Ketua Pengarah, Tuan Haji Awang @ Musran Tawil.
Haji Awang memaklumkan, Sejak tahun 1985 sehingga Disember 2022 lebih RM800 juta daripada dana Tabung Amanah YaPEIM telah diagihkan kepada kira-kira 8.3 juta penerima manfaat di seluruh negara. Jumlah ini merangkumi mereka yang berstatus fakir miskin, asnaf, keluarga B40, usahawan, keluarga miskin, anak yatim dan kumpulan sasar yang dikenal pasti.
Sementara itu, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman memberitahu, kerjasama strategik ini bakal memberi manfaat perlindungan sosial PERKESO kepada golongan bekerja sendiri termasuk usahawan, golongan asnaf dan rentan di bawah YaPEIM, meningkatkan kebolehpasaran mereka menerusi program Program Return to Work (RTW), RTWPrenuer dan perkhidmatan pekerjaan PERKESO, serta memperkasakan sumber dana untuk pelaksanaan program-program ekonomi dan amal jariah YaPEIM.
Katanya, selain itu, skop kerjasama juga menyokong pembangunan kemahiran social security practitioner di kedua belah pihak dalam membantu kumpulan sasar di negara ini, menerusi Program Social Synergy PERKESO.
“Kolaborasi dua hala ini membabitkan kompetensi dari tiga jabatan PERKESO iaitu Bahagian Sinergi, Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan dan Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri,” katanya.
Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman berkata menerusi MoU tersebut, PERKESO dan YaPEIM akan saling menyokong untuk memperkasakan sosioekonomi masyarakat Malaysia secara komprehensif dan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial yang mampan terutamanya kepada pekerja di sektor formal, pekerja asing, pekerja domestik, individu bekerja sendiri dan juga golongan suri rumah.