Kuala Lumpur, 6 Februari 2023 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan Pelan Pembangunan Komuniti Setempat YaPEIM merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan kebajikan sebagai wadah untuk memperkasa komuniti setempat.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, Masjid Jamek Kampong Bharu dipilih sebagai projek rintis kepada Pelan Pembangunan Komuniti Setempat ini bagi mencapai matlamat secara lebih holistik dan tersusun.
Katanya, dengan tema “Perkasa Ekonomi, Pendidikan dan Kebajikan ke Arah Kelestarian Komuniti Setempat”, Pelan Pembangunan Komuniti Setempat YaPEIM ini mengetengahkan objektif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat, meningkatkan pendapatan dan kelestarian kehidupan.
“Selain itu juga ianya bagi menjana peluang pekerjaan melalui pelbagai inisiatif meliputi pelbagai golongan di dalam komuniti ini serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui program pendidikan dan latihan yang bersasar yang akan dikendalikan pihak YaPEIM menerusi pelan pembangunan komuniti ini juga ia dapat memanfaatkan prasarana yang dimiliki oleh entiti/institusi di komuniti setempat,” katanya selepas melancarkan Pelan Pembangunan Komuniti Setempat YaPEIM, di Masjid Jamek Kampong Bharu, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, Pengerusi Masjid Jamek Kampong Bharu, Datuk Mohd Khay Ibrahim dan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Haji Awang @ Musran Haji Tawil.
Sementara itu, Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im memberitahu, YaPEIM turut menyasarkan golongan rentan (wanita/orang kurang upaya/warga emas/kanak-kanak/belia/miskin tegar/asnaf/B40); individu atau golongan yang ditimpa musibah seperti bencana, kemalangan, hilang punca pendapatan, masalah kesihatan; usahawan/pelajar/graduan dan individu yang kehilangan punca mata pencarian serta yang mencari peluang baru untuk disantuni melalui pelan pembangunan komuniti YaPEIM ini.
Pelan Pembangunan Komuniti Setempat YaPEIM ini menggariskan 8 touch point strategik antaranya menjadikan entry point seperti masjid serta institusi setempat yang bersesuaian sebagai lokasi pembangunan yang akan memberi fokus kepada program- program pemantapan aktiviti keusahawanan komuniti bagi usahawan sedia ada melalui program pembangunan usahawan YaPEIM.
Pemilihan Kampung Baru khususnya Masjid Jamek Kampung Baru ini dilihat signifikan dalam membangunkan usahawan-usahawan asnaf dan usahawan-usahawan lain yang ada di kawasan yang berpusat di ibu negara Malaysia dengan kejayaan pelaksanaannya akan dinilai serta menjadi tanda aras untuk YaPEIM mewujudkan lebih banyak pelan pembangunan komuniti di masa akan datang.
Pelancaran Pelan Pembangunan Komuniti Setempat YaPEIM di Kampung Baru ini turut diselingkan dengan pelbagai program lain seperti taklimat pembangunan komuniti,taklimat program inspirasipreneur YaPEIM, taklimat kesedaran halal dan inovasi pembangunan produk, taklimat usahawan asnaf, taklimat skim pembiayaan mikro kredit Ar Rahnu YaPEIM, program celik kendiri-motivasi dan penyampaian sumbangan kepada golongan rentan.