YaPEIM, BERNAMA bincang peluang kerjasama yang boleh diteroka

25 Julai 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berharap akan dapat menjalinkan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Perkara itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed ketika melakukan kunjung hormat di ibu pejabat BERNAMA di ibu negara petang ini.

Antara kerjasama yang boleh dimeterai termasuklah peluang latihan yang ditawarkan BERNAMA, kerjasama dari segi perkongsian pintar membabitkan Rakan Strategik Infaq (RSI) dan peluang serta ruang yang boleh YaPEIM manfaatkan untuk mendapat liputan daripada agensi berita berkenaan.

Kehadiran delegasi YaPEIM disambut Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Puan Nur-ul Afida binti Kamaludin. Delegasi YaPEIM turut disertai Ketua Divisyen Sumber Dana Puan Parihah binti Hasan dan Ketua Divisyen Strategi dan Transformasi Puan Jasni binti Othman.

Perbincangan selama 90 minit itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Puan Nasriah binti Haji Darus; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Puan Azlina binti Aziz dan Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Puan Sharifah Zaini binti Syed Zain.

Usai sesi perbincangan, delegasi YaPEIM turut dibawa melawat bilik berita BERNAMA TV dan meninjau pengoperasian serta cara kerja stesen TV berkenaan.

Di akhir kunjung hormat Tuan Haji Ameer Ali turut mempelawa pengurusan BERNAMA melakukan kunjungan balas ke ibu pejabat YaPEIM pada bila-bila masa.