YaPEIM salur RM49,500 menerusi PZMY, manfaatkan mereka memerlukan

3 Ogos 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan sumbangan RM49,500 bagi Program Ziarah MADANI YaPEIM (PZMY) pada hari ini yang memanfaatkan mereka yang memerlukan.

Sumbangan yang diberi berupa bantuan tunai RM200 setiap satu kepada 30 keluarga daripada kumpulan B40, pesakit kronik dan anak yatim berjumlah RM6,000; bantuan makanan RM100 setiap satu kepada 100 keluarga berjumlah RM10,000; dan bantuan pendidikan RM50 seorang kepada 100 pelajar dari lima buah sekolah berjumlah RM5,000.

YaPEIM turut menyumbang peralatan dan prasarana kepada Masjid Ridzwaniah berjumlah RM5,500;bantuan penganjuran jamuan rakyat untuk 600 orang berjumlah RM21,500; Program Sinar Sihat melibatkan pemeriksaan kesihatan sebanyak RM1,000; dan program motivasi Celik Kendiri kepada 100 pelajar berjumlah RM500.

Sesi serahan bantuan disampaikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus yang mewakili Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar Perak.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Kangsar Tuan Ahmad Sabri bin Abdul Ghani dan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Tuan Mohd Kamal bin Mohamad Noor.

Juga hadir Timbalan Pengarah Operasi JAWI Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia Tuan Abdul Halim bin Mat Yusop, Pengarah Bahagian Baitulmal JAWHAR Tuan Fariz bin Ubaidullah dan Pengarah Pejabat YADIM Perak Tuan Ramdani bin Abd Karim.

PZMY merupakan program sosioekonomi dan amal jariah yang memberi fokus kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat seperti golongan pelajar, keluarga rentan, anak yatim dan pesakit kronik yang memerlukan bantuan.

Sejak tahun 1985, YaPEIM telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM700 juta kepada 10 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras program (Pembangunan Ekonomi Islam, Pendidikan dan Pembangunan Sosial) merangkumi bantuan Program YaPEIM Didik, YaPEIM Prihatin dan YaPEIM Niaga.