PPKY di Sabah dilancar di Putatan, sumbangan RM140,000 disalur

10 Ogos 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancar Projek Pembangunan Komuniti YaPEIM (PPKY) negeri Sabah di Putatan hari ini sambil menyalurkan bantuan berjumlah RM140,000.

Masjid Dufuyur-Rahman di Kampung Lok Kawi Baru di Putatan dipilih sebagai masjid yang akan menjadi pusat kepada PPKY ini bagi tempoh 2024 hingga 2026.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III Sabah Tuan Mohd Sufian bin Datuk Haji Matin yang mewakili Timbalan Ketua Menteri III.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed dan Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Putatan Tuan Haji Awang Musa bin Haji Awang Kasim.

Hadir sama Pengerusi Masjid Dhuyufur Rahman Tuan Radik bin Taim dan Ketua Kampung Lok Kawi Baru Tuan Mohd Yahya bin Rasit.

PPKY berupa satu projek dengan pendekatan holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat dengan pelaksanaan aktiviti dan pemantauan yang berpanjangan, merangkumi bantuan pendidikan, sosioekonomi dan amal jariah.

Sumbangan yang disalurkan berupa set makanan bernilai RM100 setiap satu kepada 180 keluarga berjumlah RM18,000; wang tunai RM500 kepada lima keluarga kalangan B40, pesakit kronik dan anak yatim berjumlah RM2,500; dan penganjuran jamuan keraian yang memanfaatkan 400 orang sebanyak RM17,000.

Ia juga melibatkan pelaksanaan program motivasi Celik Kendiri kepada 50 pelajar sebanyak RM2,500; bantuan peralatan dan prasarana RM1,000 setiap satu kepada lima buah sekolah berjumlah RM5,000; dan penambahbaikan tempat letak kenderaan di Masjid Dhuyufur Rahman sebanyak RM5,000.

YaPEIM turut memperuntukkan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) berjumlah RM90,000 bagi mengenal pasti calon penerima yang layak untuk dipertimbang bagi bantuan baik pulih premis perniagaan di bawah program Sinar Lestari YaPEIM.

Sehingga kini PPKY telah menyantuni masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang dan Melaka.

Selepas itu, delegasi YaPEIM terus melawat cawangan Ar-Rahnu YaPEIM di UTC Kota Kinabalu sambil menyerahkan sumbangan Foodbank YaPEIM kepada 8 penerima dari kalangan keluarga B40. Sumbangan disampaikan oleh Datuk Mohd Radzif.