YAPEIM taja RM48,000 untuk hadiah johan-johan MTHQA ke-64

23 September 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) sekali lagi diberi kesempatan untuk menaja hadiah sampingan bagi Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 tahun ini.

Tajaan YAPEIM berupa set barang emas iaitu 2 keping dinar mutu 999 (2 x 4.25g) dan 20g (barang kemas) mutu 916 dihasilkan oleh YAPEIM Gold, sebuah syarikat milik penuh YAPEIM, bagi pemenang setiap kategori.

Tajaan berjumlah RM48,000 itu melibatkan hadiah kepada johan qari dan qariah serta johan lelaki dan wanita bagi kategori menghafaz Al-Quran.

MTHQA ke-64 yang akan berlangsung pada 5 hingga 12 Oktober ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bakal menghimpunkan 92 peserta dari 71 negara dengan Malaysia menghantar empat wakil untuk mengambil bahagian.

Dengan tema “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI”, majlis perasmian MTHQA ke-64 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah berkenan untuk berangkat dan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada johan MTHQA ke-64 pada 12 Oktober 2024.

Hari ini berlangsung Majlis Pra Pelancaran MTHQA ke-64 di WTCKL yang disempurnkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed.

Loading