Ibu tunggal terharu terima rumah dibina YAPEIM

“Dah ada rumah baharu ni boleh la akak masak Nasi Ayam, Nasi Tomato lebih sikit, sebab rumah pun dah besar dan selesa. Harap-harap rezeki jualan akan pun boleh bertambah.”

Itu kata Puan Nourhaidzura Abd Halim, 40, penerima manfaat Program Sinar Lestari YAPEIM ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Bemban, Sungai Petani, hari ini.

Beliau yang mesra disapa Kak Zura merupakan insan yang bertuah apabila menerima manfaat sebuah rumah baharu yang dibina di atas tanah miliknya oleh YAPEIM dan diserahkan secara rasmi pada hari ini.

Menurut ibu tunggal beranak tiga itu, beliau tidak pernah terfikir atau menyangka akan menjadi insan terpilih untuk dibantu dan menerima rezeki sebuah rumah yang mula dibina sejak 21 April 2024.

Kak Zura yang meraih pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan hasil jualan makanan berharap rumah baharunya ini akan memberi lebih keceriaan kepada anak-anaknya dan membuka rezeki jualan seperti Nasi Ayam, Nasi Tomato dan kuih-muih yang akan dihantar ke warung berhampiran untuk diniagakan.

Kediaman tiga bilik tidur itu siap sepenuhnya pada 23 Oktober 2024 dan majlis penyerahan rumah Kak Zura disempurnakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus pada hari ini. Turut sama menyaksikan majlis penyerahan, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU-JPM) Negeri Kedah Puan Zaiton binti Yahya, Ketua Divisyen Pembangunan Sosioekonomi YAPEIM Encik Muhamad Khairul Anuar bin Ibrahim dan wakil kontraktor.

Selain YAPEIM, Kak Zura turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat ICU JPM Negeri Kedah kerana membantu merealisasikan impiannya memiliki kediaman sendiri.