LABIS, 15 Februari 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM316,000 dalam Majlis Santuni MADANI YAPEIM iaitu dalam bentuk Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) Peringkat Negeri Johor dan Program Sinar Lestari YAPEIM.
Majlis disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, Labis, Johor, hari ini.
Di program Santuni MADANI dalam bentuk PPKY, YAPEIM mengagihkan sumbangan berjumlah RM150,000. Ia membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM20,000 dalam bentuk bantuan kewangan RM100 setiap satu kepada 200 orang pelajar sekolah.
Ia juga melibatkan sumbangan YAPEIM Prihatin berjumlah RM20,000 dalam bentuk sumbangan satu set makanan bernilai RM100 setiap satu kepada 100 keluarga berjumlah RM10,000, sumbangan RM500 tunai setiap satu kepada 10 keluarga yang ditimpa musibah dan bencana berjumlah RM5,000 dan sumbangan RM5,000 kepada Masjid Bandar Labis.
YAPEIM turut memperuntukan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Negeri Johor (ICU JPM) Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM90,000 bagi mengenal pasti tiga calon penerima yang layak untuk dipertimbangkan bantuan baik pulih premis perniagaan Program Sinar Lestari YAPEIM dan sumbangan bagi majlis keraian dan kemasyarakatan berjumlah RM20,000.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Ameer Ali bin Vali Mohamed, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, YBrs. Tuan Haji Nasri bin Md Ali dan Pegawai Daerah Segamat, YBrs. Tuan Haji Mohd Ezzudin bin Sanusi.
Sementara itu, YAPEIM juga mengadakan taklimat berkaitan keusahawanan kepada komuniti setempat dan akan mengenal pasti mereka yang berpotensi untuk dibantu menerusi program/skim di bawah YAPEIM Niaga. Sebelum ini, PPKY melalui program Usahawan Komuniti YAPEIM telah membantu sejumlah usahawan komuniti dalam mengembangkan potensi perusahaan masing-masing melalui bantuan pembiayaan usahawan dan pemantauan jangka panjang.
Projek yang mengambil masa selama tiga tahun ini merupakan satu pendekatan yang holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat dengan pelaksanaan aktiviti dan pemantauan yang berterusan yang merangkumi pembangunan ekonomi/keusahawanan, bantuan pendidikan dan bantuan kemasyarakatan. Sehingga kini PPKY telah menyantuni masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Sabah, Perak, Sarawak, Kedah dan Pulau Pinang.
Selain itu, YAPEIM turut menyerahkan dua buah rumah kepada penerima manfaat kategori keluarga miskin eKasih menerusi Program Sinar Lestari YAPEIM masing-masing di Muar dan Kulai berjumlah RM166,000. Dua penerima manfaat berkenaan adalah Puan Salasiah binti Paiman, 48, tukang cuci dari Kampung Sungai Alai, Muar dan Encik Baharuddin bin Suandi, 55, penjaja makanan dari Kampung Ayer Manis, Kulai yang masing-masing menerima kunci rumah yang disampaikan YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im di Kampung Sungai Alai, Muar.
Kerja-kerja pembinaan rumah Puan Salasiah telah dimulakan sejak 26 Mac 2024 dan siap sepenuhnya pada 3 Disember 2024 manakala bagi rumah Encik Baharuddin pula, kerja-kerja pembinaan juga bermula pada 26 Mac 2024 dan siap pada 20 Disember 2024. Kedua-dua penerima manfaat ini masing-masing menerima peruntukan RM80,000 setiap seorang bagi pembinaan sebuah rumah. Pemilihan dan pengesahan kedua-dua penerima manfaat kategori eKasih ini telah dilakukan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Johor (ICU JPM) Jabatan Perdana Menteri pada 21 September 2023.
YAPEIM juga turut mempertimbang bantuan tambahan iaitu pakej sokongan kelestarian perniagaan sebanyak RM3,000 seorang bagi membantu penerima manfaat memperoleh pendapatan tambahan dan akan mempertimbang untuk menyalurkan sumbangan pendidikan kepada anak-anak penerima manfaat sebagai usaha membantu anak-anak miskin ini cemerlang dalam pendidikan.
Program Sinar Lestari YAPEIM telah dilancar pada tahun 2020 dan sehingga Januari 2025, YAPEIM telah memperuntukkan RM13.5 juta membabitkan 293 buah projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara. Sebanyak 167 projek baik pulih dan 126 projek bina baharu telah dilaksanakan dengan 199 projek telah siap sementara baki 94 projek sedang dalam proses pembinaan.
Secara keseluruhan sejak tahun 1985 hingga Disember 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM710 juta kepada 10 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi/keusahawanan, bantuan pendidikan dan bantuan kemasyarakatan.
YAPEIM berharap bantuan dan program-program seumpama ini dapat memberi manfaat dan nilai tambah dalam kehidupan penerima manfaat. Jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada penyumbang Tabung Amanah YAPEIM yang sudi berinfak sekali gus membolehkan program bermanfaat seperti PPKY dapat dianjurkan.












