YAPEIM Anjur Kursus Pengendalian Makanan dan Suntikan Tifoid peringkat Negeri Melaka

24 Februari 2025 – Seramai 50 peserta menyertai Kursus Pengendalian Makanan dan Suntikan Tifoid secara percuma yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Masjid Asy-Syuja’ah Merlimau, Melaka pada semalam.

Kursus satu hari yang diselaraskan oleh Divisyen Pembangunan Sosioekonomi itu bertujuan bagi melatih dan melahirkan peserta secara lebih berdaya saing dalam mengendalikan perusahaan makanan masing-masing.

Sebelum ini YAPEIM turut menganjurkan program yang sama di Kuantan, Pahang, Tumpat, Kelantan dan Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur dan dijangka akan diperluas di beberapa buah negeri dalam masa terdekat.

Kursus ini juga adalah sebahagian daripada aktiviti yang terdapat dalam Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) yang telah dilaksana di 11 buah negeri bertujuan membantu komuniti dan mencipta impak terhadap masyarakat setempat dalam pembangunan ekonomi, pendidikan dan kebajikan.

YAPEIM berharap program seumpama ini dapat memberi manfaat kepada peserta selain melahirkan pengendali makanan yang profesional.