Anak-anak tahfiz diraikan dalam Program Infaq Qurban YaPEIM 2024

20 Jun 2024 – Pagi ini Madrasah Tahfiz Darul Mokhtar, Gombak menerima kunjungan Pengurusan YaPEIM bagi meraikan Program Infaq Qurban YaPEIM 2024 yang juga di bawah Program Ziarah Madani YaPEIM.

Program yang bermula seawal jam 8 pagi disempurnakan oleh Ketua Divisyen Sumber Daya Insani Dan Perkhidmatan YaPEIM, Encik Nik Azlan bin Nik Abdullah.

YaPEIM menyumbang seekor lembu dan seramai 47 penerima manfaat menerima Foodbank YaPEIM berupa daging segar dan barangan makanan kering serta bantuan tunai.

Selain itu, pihak YaPEIM turut menyumbang RM3,000 kepada pihak pengurusan madrasah untuk mengadakan jamuan dan membeli peralatan dan pekakas memasak.

Rata-rata penerima manfaat menzahirkan kesyukuran atas sumbangan yang diterima yang disifatkan dapat meringankan beban masing-masing.

Untuk rekod, YaPEIM telah menyalurkan sumbangan RM1 juta untuk tahun ini bagi membolehkan Program Infak Qurban YaPEIM 2024 dilaksanakan di seluruh negara.

Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang Tabung Amanah YaPEIM kerana melalui sumbangan yang diterima dapatlah YaPEIM melaksanakan pelbagai program yang bermanfaat termasuk program ini.