27 Oktober 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan bantuan pendidikan berjumlah RM2.34 juta kepada 2,340 pelajar tahun pertama kursus ijazah sarjana muda di 20 Univeristi Awam (UA) di seluruh negara.
Melalui insiatif Didik MADANI YAPEIM ini, setiap pelajar akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000 yang dikreditkan ke akaun masing-masing di Jabatan Bendahari UA bagi tujuan pembayaran yuran.
Pemilihan dilaksanakan oleh setiap UA berasaskan kepada keluarga B40 yang belum mendapat apa-apa bantuan. Kira-kira 60 penerima adalah dalam kalangan bukan Muslim yang melambangkan program ini bersifat inklusif.
Majlis Penyerahan Bantuan Didik MADANI YAPEIM ini disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pagi ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YAPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi YBhg. Datuk Prof. Dr. Azlinda binti Azman dan Rektor UIAM Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman bin Bakar.
Kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu YBrs. Prof. Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya YBrs. Prof. Dr. Zamri bin Radzi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia YBrs. Prof. Dr. Ahmad Martadha bin Mohamed dan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia YBrs. Prof. Dr. Akmal Khuzairy bin Abd. Rahman turut memeriahkan majlis ini.
Bantuan ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang memerlukan seterusnya menyuntik semangat kepada mereka untuk belajar dengan lebih gigih dan cemerlang dalam pengajian mereka.
Sementara itu, inisiatif Didik MADANI YAPEIM yang dilaksanakan YAPEIM ini mempunyai objektif untuk membantu meringankan jumlah pembayaran yuran pengajian, meringankan bebanan keluarga dalam menangani aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak terutamanya sebagai persediaan kemasukan ke universiti awam.
Inisiatif ini seterusnya menjadi pelengkap dalam usaha pelbagai pihak khususnya agensi kerajaan berkaitan, insititusi korporat dan individu dalam menyantuni anak-anak dan pelajar atau kelompok pelajar yang disasarkan.