Petaling Jaya, 2 November – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mensasarkan 1,400 warga kerjanya memperoleh manfaat hasil pelaksanaan Program Duit Saku YaPEIM (Duit SaYa) menerusi platform digital Avana.
Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, inisiatif YaPEIM dalam mewujudkan platform perdagangan sosial untuk jualan dan promosi produk secara digital ini dapat memberi manfaat kepada seluruh kakitangan YaPEIM dalam meningkatkan sosio ekonomi serta memupuk semangat keusahawan di kalangan warga yayasan ini.
“Hingga kini seramai 1,166 warga YaPEIM mendaftar dalam platform digital perdagangan sosial untuk memudahkan proses menjual dan mempromosikan produk YaPEIM iaitu 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pegawai dan staf YaPEIM.
“Kita mensasarkan 100 peratus warga kerja YaPEIM akan berada di atas platform ini, oleh demikian saya mohon semua warga kerja YaPEIM untuk mendaftar sebagai tanda sokongan serta semangat KeYaPEIMan kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Duit Saku YaPEIM (DUIT SaYa) serta pelancaran Koleksi Wafer Emas YaPEIM Gold edisi Asma Ul Husna (Ar Rahman&Ar Rahim) karya YM Raja Azhar YM Raja Lop Idris di Ibu Pejabat YaPEIM, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, YM Raja Azhar dan barisan pengurusan YaPEIM.
Parihah berkata, menerusi platform yang dibangunkan ini membolehkan komisyen jualan dipindahkan ke akaun ejen berkenaan dengan mudah, telus dan pantas.
“Program ini merupakan medium yang sangat mudah untuk mempromosikan produk dan membentuk rangkaian ‘affiliates/dropship agent’ di mana aplikasi ini memudahkan rangkaian ejen yang direkrut mencapai maklumat produk dan berkongsi maklumat produk di media sosial pilihan mereka hingga produk berkenaan dijual,” katanya.
Sementara itu, Parihah berkata, pemilihan produk emas yang dipasarkan di ‘YaPEIM Digital Store’ menerusi aplikasi Avana mengambil kira beberapa faktor seperti penjualan emas secara atas talian, situasi pandemik Covid-19 sebagai ‘push factor’ serta beberapa faktor lain dijangka memberi impak yang lebih positif terhdapa jualan.
Dalam masa sama, Parihah turut menzahirkan penghargaan kepada YM Raja Azhar atas kesudian pelukis tersohor itu untuk berkarya bersama YaPEIM Gold dalam menghasilkan wafer emas edisi Asma ‘Ul Husna yang dipasarkan di ‘YaPEIM Digital Store’.