Islam Mekar Di Bumi Malaysia – Lima Agenda Amanat Al-Falah 2025 Dilancar

23 Januari 2025 – Kira-kira 350 pegawai dan kakitangan 14 buah agensi agama bersama ketua agensi masing-masing hadir ke Majlis Amanat dan Perhimpunan Agensi di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) 2025, pagi tadi.

Majlis yang diadakan di Auditorium Masjid Putra, Putrajaya itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar yang kemudian menyampaikan Amanat Al-Falah 2025: Islam Mekar Di Bumi Malaysia.

YB Menteri turut melancarkan Direct Debit YAPEIM, menyampaikan hadiah kepada tiga penyumbang bertuah Direct Debit YAPEIM, meluncur buku Darul Quran & 25 tahun Institut Latihan Islam Malaysia, dan melancar program Hadis@114, satu program harian baharu di TV Al-Hijrah.

Terdahulu dalam amanat yang disampaikan, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im menyenaraikan lima agenda Amanat Al-Falah 2025, iaitu:-

1. Mengangkat pembangunan Al-Quran dan Hadis;

2. Meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam;

3. Memperkukuh aplikasi teknologi dalam tadbir urus Islam;

4. Melestari kesejahteraan sosial ummah; dan

5. Memperkasa perpaduan ummah dan keharmonian tamadun.

Beliau mengajak seluruh warga kerja agensi meningkatkan usaha, berganding bahu bekerjasama dan menumpukan fokus bagi menjayakan usaha meninggikan syiar Islam seterusnya meningkatkan kemajuan ummah.

Untuk perhimpunan kali ini, YAPEIM dan TV AlHijrah berupa hos bersama, manakala JAKIM bertindak sebagai penyelaras utama.

Program ini juga menyaksikan kesemua 14 agensi agama mengambil bahagian dalam pameran di reruai yang disediakan di Masjid Putra pada 23 dan 24 Januari 2025.