Kampung Sungai Baru kampung angkat Menteri Hal Ehwal Agama

27 Julai 2024 – Kampung Sungai Baru di Kampung Baru Kuala Lumpur hari ini diumum kampung angkat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar mengumumkannya di Majlis Peluncuran Program Santuni Madani Mini Karnival Kampung Angkat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Program kampung angkat ini selari dengan arahan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim kepada Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan serta Agensi masing-masing mempunyai sebuah Kampung Angkat MADANI.

Kewujudan Kampung Angkat MADANI ini adalah bagi menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan.

Di majlis peluncuran Kampung Angkat MADANI Kampung Baru, pelbagai program diadakan.

Ia bermula dengan Ziarah Madani Kampung Bharu, disusuli Pelancaran Gerobok Rezeki MAIWP di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru dan Majlis Peluncuran Program Santuni Madani Mini Karnival Kampung Angkat.

Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) YB Dr. Zaliha Mustafa.

Selain itu, pelbagai gerai jualan dan pameran di reruai turut diadakan. Agensi-agensi Hal Ehwal Agama termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengambil bahagian.

Majlis diteruskan lagi pada sebelah petang dengan sukaneka rakyat diikuti pengisian sesi tausiah pada sebelah malam oleh Habib Nael Ben Taher di Masjid Kampung Baru.