Mengetepikan protokol serta bersahaja ketika menyapa rakyatnya. Itulah perwatakan ditunjukkan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis ketika mengetuai kayuhan Program Inspirasi Qaseh Kami menyantuni asnaf sekitar Kangar, hari ini.
Tiba seawal jam 7.40 pagi, Tuanku ditaklimatkan secara ringkas terlebih dahulu oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Prof Dr Mohamad Akram Laldin bersama Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Awang Musran Tawil mengenai bantuan yang disampaikan YaPEIM.
Tuanku kemudian bersama kira-kira 30 peserta memulakan ekspedisi kayuhan dari Masjid Syed Putra Jamalulail, Kangar ke rumah asnaf dengan jarak kayuhan keseluruhannya sejauh kira-kira 20 kilometer.
Sebanyak tiga rumah asnaf dilawati Tuanku dengan sumbangan tunai dan barangan keperluan asas turut disampaikan.
Tuanku secara spontan turut memandikan seorang kanan-kanak lelaki di hadapan rumahnya dengan memancurkan paip air ke arah kanak-kanak itu. “Bertuahlah awak dimandikan Tuanku,” kedengaran suara-suara sekeliling yang seakan mengusik kanak-kanak lelaki itu.
Apa-apa pun program antara YaPEIM dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis ini telah memanfaatkan 350 penerima manfaat yang telah dikenal pasti secara keseluruhannya dengan masing-masing menerima bantuan berjumlah RM300 setiap seorang.
Ia melibatkan RM200 bantuan Foodbank YaPEIM dan RM100 bantuan tunai. Keseluruhannya ia berjumlah RM105,000.Semoga usahasama ini dapat diteruskan di lain masa. Dirgahayu Tuanku!