BANDAR SUNWAY, 20 Februari 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menafikan sebarang bentuk iklan yang menawarkan cadangan untuk membangunkan projek perumahan di tanah PJ Perdana, Paroi, Negeri Sembilan yang dikesan cuba memperdayakan orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
Aktiviti yang bertujuan untuk menipu orang ramai itu mula dikesan selepas satu pesanan tangkap layar daripada aplikasi WhatsApp dikirimkan seorang individu kepada pegawai YAPEIM yang cuba mendapatkan kepastian mengenai perkara tersebut di mana tanah PJ Perdana itu merupakan aset hartanah milik Institusi Milik Penuh (IMP) YAPEIM.
Individu itu turut menyatakan iklan tawaran membangunkan tanah berkenaan telah dihantar kepada ramai pihak melalui aplikasi WhatsApp yang mana iklan itu turut memaklumkan pihak yang berminat perlu membuat bayaran RM10,000 sebagai bayaran pendahuluan.
YAPEIM menafikan segala maklumat yang dinyatakan dalam pesanan tangkap layar berkenaan dan tidak akan bertanggungjawab atas segala aktiviti serta promosi yang dilakukan pihak terbabit untuk memperdayakan orang ramai. Cubaan menggunakan nama YAPEIM yang juga satu daripada 14 agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah sangat tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
YAPEIM juga telah membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada hari ini untuk tindakan lanjut. Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan sebarang iklan yang meminta mereka membuat pindahan wang atau sebarang bentuk iklan yang mempunyai unsur penipuan.
Latar Belakang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM)
YAPEIM ialah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ia ditubuh pada 13 Oktober 1976 dan dilancar semula pada 1984. YAPEIM berperanan dalam pembangunan dan kesejahteraan ummah dengan menyediakan inisiatif pembangunan usahawan, bantuan pendidikan dan bantuan kemasyarakatan kepada yang layak dan memerlukan melalui program komuniti secara berpanjangan atau sekali (“one-off”).
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Seksyen Komunikasi Korporat YAPEIM
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM)
E-mel: info@yapeim.my
Tel: 013-4165 201 (Ridzuan Abas), 019-244 0585 (Azim Fitri)