23 Februari 2025 – Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan YAPEIM (KeSSKY) dengan kerjasama Etiqa Motorcycle Community (EMC) menyantuni warga Pondok Darul Muttaqin dalam Program Jelajah #ridetoramadan 2025 di Paya Rumput, Melaka semalam.
Sebelum itu, majlis pelepasan kumpulan konvoi motosikal dan kereta terbabit telah dilakukan di Ibu Pejabat YAPEIM di Menara Ochre, Putrajaya dan disempurnakan oleh Ketua Divisyen Tadbir Urus YAPEIM Encik Rozaidie bin Mustaffa. Hadir sama Presiden KeSSKY Encik Mohd Radzali bin Abd Latiff dan Presiden EMC Encik Shamsul Fariz bin Ramli.
Kira-kira 100 peserta terdiri dalam kalangan ahli KeSSKY dan ahli EMC menyertai siri jelajah zon selatan ini dengan jarak perjalanan kira-kira 110 kilometer yang mengambil masa dua jam.
Antara aktiviti sukarelawan dilaksana ialah gotong-royong membersihkan kawasan kelas, asrama dan surau. Para peserta juga turut melakukan kerja mengecat dan bergotong-royong memasak juadah makanan.
Selain itu, program ini juga turut menyumbang barangan kelengkapan asrama dan wang tunai kepada anak-anak pelajar asrama.
Mudir Pondok Darul Muttaqin, Tuan Guru Mualim Amir bin Ali mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan seluruh peserta kerana meluangkan masa menyantuni mereka melalui jelajah #ridetoramadan 2025 ini.
Jelajah #ridetoramadan 2025 sebelum ini telah menjelajah ke Pekan, Pahang dan dijangka akan melakukan program sama pada April ini di Pulau Pinang.











