Tidak terlintas difikirannya sebelum ini apabila membuat potongan dengan Skim Potongan Gaji (SPG) YaPEIM sejak beberapa tahun lalu akan mendapat balasan atas usaha murni itu pada hari ini.
Itu yang diluahkan Laili Hirwati Abdul Wahid, 42, mangsa kebakaran kediaman di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru, sambil menahan linangan air mata apabila sedekah amal jariahnya sebelum ini dibalas Allah SWT.
Kata guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selesa Jaya itu, kejadian kebakaran rumahnya tiga minggu lalu ternyata membuka matanya tentang amalan bersedekah di mana ianya dibalas Allah SWT menerusi YaPEIM yang menjadi instrumen beliau melakukan amal jariah melalui skim SPG.
“Allah dah janji apabila kita bersedekah satu Allah bagi balik kat kita 10. Apabila saya dihubungi oleh kariah masjid baru-baru ini yang YB Menteri nak datang melawat dan bagi sumbangan saya sebak dan terharu. Syukur kepada Allah SWT,” katanya kepada YaPEIM TV, di sini, hari ini.
Menceritakan detik ketika rumahnya terbakar, beliau bersama suami Aminudin Wahi Wahab, 43, bersama lima anak berusia tiga hingga 14 tahun tidak menduga kejadian itu berlaku.
“Ketika kejadian dalam jam 9 pagi. Anak saya yang bagitahu ada terhidu bau hangit, bila saya tinjau ke bahagian dapur api dah mula marak. Kemudian kami terus keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan keluarganya semua selamat.
Puan Laili hari ini disantuni Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Mohd Ridzal Mohd Sheriff serta pengurusan YaPEIM melawat kediamannya dan menyerahkan sumbangan melalui Program Inspirasi Prihatin YaPEIM berjumlah RM500.