Malam Media YAPEIM berlangsung meriah, salur bantuan RM50,000

Majlis Penghargaan & Amal YAPEIM Bersama Media 2024 berlangsung meriah dengan kehadiran 141 pengamal media daripada pelbagai latar belakang organisasi di sekitar Lembah Klang, semalam.

Di majlis tersebut, YAPEIM turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 dalam bentuk RM1,000 seorang kepada 50 warga media dan penggiat seni tanah air  yang memerlukan. Mereka termasuk yang ditimpa musibah dan masalah kewangan.

Sumbangan ini merupakan inisiatif kali kedua dilakukan YAPEIM. Pada tahun lalu dalam majlis yang serupa, YAPEIM menyalurkan bantuan tunai kepada wartawan, jurugambar, jurukamera dan bekas pengamal media yang kurang bernasib baik, yang menerima RM500 setiap seorang.

Majlis Penghargaan dan Amal YAPEIM Bersama Media 2024 malam tadi disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar. 

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed.

Terima kasih diucapkan kepada lima persatuan/kelab iaitu Kelab Media KL dan Selangor (KLS), Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA), Kelab Media Putrajaya (KMP), Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) atas kerjasama yang diberikan dengan membantu mengesan ahli yang memerlukan.

Majlis ini juga menjadi ruang untuk mengingati pengorbanan wartawan di medan konflik, khususnya di Gaza. Sejak Oktober 2023, sekurang-kurangnya 33 wartawan telah terkorban akibat kekejaman rejim Zionis, termasuk mereka yang bertugas menyampaikan kebenaran kepada dunia. Tragedi ini menekankan betapa pentingnya sokongan berterusan kepada pengamal media yang sering berhadapan risiko demi menjalankan tanggungjawab mereka.