PPKY Perak salur bantuan berjumlah RM140,000 kepada masyarakat memerlukan

14 September 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) lancar Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) Negeri Perak di Tanjung Malim hari ini sambil menyalurkan bantuan berjumlah RM140,000.

Majlis pelancaran di Masjid Al-Ikhwan di Taman Bernam Baru itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed yang mewakili Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Perak Tuan Mazlan Zurin bin Zulkifli, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pembangunan Murid) Pejabat Pendidikan Daerah Muallim Tuan Faizal bin Omar, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah dan Tanah Muallim Tuan Anis Zaihasmy bin Zainal Abidin dan Timbalan Pengerusi Masjid Al-Ikhwan Tuan Abd Malek bin Selamat.

PPKY berupa satu projek dengan pendekatan holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat dengan pelaksanaan aktiviti dan pemantauan yang berpanjangan merangkumi bantuan pendidikan, keusahawanan dan amal jariah.

Sumbangan yang disalurkan berupa set makanan bernilai RM100 setiap satu kepada 250 keluarga berjumlah RM25,000; penganjuran jamuan keraian yang memanfaatkan 600 orang berjumlah RM14,000; sumbangan bagi pelaksanaan program motivasi Celik Kendiri kepada 100 pelajar berjumlah RM1,000; dan bantuan kewangan pendidikan berupa sumbangan tunai RM100 kepada 100 peserta Celik Kendiri berjumlah RM10,000.

YAPEIM turut memperuntukkan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Negeri Perak (ICU) Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM90,000 bagi mengenal pasti calon penerima yang layak untuk dipertimbangkan bagi bantuan baik pulih premis perniagaan melalui Program Sinar Lestari YAPEIM.

Selain itu, Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan YAPEIM (KeSSKY) turut menyalurkan sumbangan berupa mikrofon tanpa wayar serta bantuan peralatan tulis kepada 100 pelajar yang berjumlah RM3,150.

Sehingga kini PPKY telah menyantuni masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka dan Sabah.

Loading