Program Inspirasi YaPEIM santuni penduduk Marang

17 Ogos 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia(YaPEIM) melaksanakan Program Inspirasi YaPEIM hari ini dengan menyalurkan bantuan berjumlah RM50,000.

Program dilaksanakan di Masjid Sentol Patah, Marang, Terengganu yang dihadiri lebih kurang 600 pengunjung dengan pelbagai aktiviti dan program yang telah dirangka.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah program motivasi Celik Kendiri, taklimat usahawan, seminar revolusi emas, taklimat dari badan agensi kerajaan, pameran serta jualan.

Majlis disempurnakan oleh Pengarah Kanan/Ketua Divisyen Pengagihan YaPEIM, Puan Sharina binti Haji Ramli.

Turut hadir Pegawai Agama Pejabat Daerah Marang Tuan Haji Mohd Rusyidi bin Mansor dan Pengarah PERKESO Negeri Terengganu Puan Hajah Fariha binti Che Husin.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Tuan Kamsah @ Kamal bin Mohamed dan Pengerusi Masjid Sentol Patah Tuan Ab Hadi bin Awang.

Program Inspirasi YaPEIM merupakan satu pendekatan yang memfokus kepada bantuan segera dalam menyantuni kelompok masyarakat merangkumi aktiviti agihan bantuan makanan, bantuan kewangan pendidikan, bantuan musibah/bencana dan jamuan rakyat.

YaPEIM menyalurkan sumbangan berupa set makanan bernilai RM100 setiap satu kepada 250 keluarga dari 5 buah kampung berjumlah RM25,000, wang tunai RM500 kepada 10 keluarga bagi bantuan musibah/bencana YaPEIM berjumlah RM5,000 dan penganjuran jamuan rakyat berjumlah RM13,000.

Sumbangan YaPEIM juga turut melibatkan penganjuran program motivasi Celik Kendiri yang melibatkan 100 pelajar dengan kos RM2,000 dan bantuan peralatan dan prasarana bernilai RM1,000 setiap satu kepada lima buah sekolah berjumlah RM5,000.

YaPEIM melalui Kelab Sukan Sosial dan Kebajikan YaPEIM (KeSSKY) turut menyumbang sebuah komputer riba bernilai RM1,400 dan wang tunai RM300 kepada Masjid Sentol Patah dan kit peralatan pembelajaran kepada 100 pelajar berjumlah RM2,000.

Jelajah Rakan Skuad KeSSKY (JeRSY) turut menyumbang tenaga sebagai sukarelawan dalam menjayakan aktiviti memasak yang diadakan semasa program ini.

Loading