Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) terus ke depan dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing.
Seiring dengan semangat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang ditekankan YB Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, YaPEIM dipertanggungjawab melaksana Program Inspirasiku MY H.A.U.S selain menyumbang kepakaran dan membantu kumpulan sasar ini.
Program Inspirasiku MY H.A.U.S ini adalah satu inisiatif baru untuk membantu kumpulan sasar dari pelbagai latar belakang yang dilihat berpotensi untuk diberi peluang.
Ia berobjektifkan kepada pembinaan ekosistem sosial baharu, peluang agihan ekonomi yang lebih baik, seterusnya kesan signifikan yang bermula daripada sebuah keluarga yang baik akan membentuk satu sistem masyarakat yang unggul.
Tujuh teras sokongan digariskan merangkumi apresiasi, tempat tinggal, kelestarian kehidupan, pemerkasaan latihan kemahiran, transformasi kerjaya, inspirasi pendidikan anak dan pembangunan sahsiah diri.
Kesemua teras sokongan ini dilihat dapat membantu kumpulan sasar dari pelbagai latar belakang yang dilihat wajar dibantu dalam meningkatkan taraf ekonomi, kualiti kehidupan dan pendidikan.
Selain itu ia juga mampu menjadi pemangkin semangat kepada individu untuk mengubah kehidupan masing-masing ke satu tahap yang lebih baik.
Demi memastikan usaha murni ini berjalan lancar, YaPEIM turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Wakaf Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, TV AlHijrah, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Alliance Islamic Bank (AIS) dan rakan strategik lain bagi merealisasikan hasrat murni ini.
Dalam masa sama inisiatif Program Inspirasiku MY H.A.U.S ini digerakkan menerusi saringan dan pemilihan mereka yang layak melalui pangkalan data Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sebelum ia diserahkan kepada YaPEIM untuk diagihkan.
Untuk rekod golongan sasar dikategorikan sebagai pasangan suami/isteri; ibu tunggal dan anak yatim piatu yang dikelaskan sebagai miskin dan kurang bernasib baik.
Ia membabitkan peruntukan RM50,000 bagi beberapa teras sokongan yang dibahagikan iaitu tempat tinggal, pembangunan sahsiah diri, pemerkasaan latihan kemahiran, apresiasi dan kontigensi.
Di bawah teras pemerkasaan latihan kemahiran, penerima Program Inspirasiku MY H.A.U.S layak untuk dibantu dari segi bantuan kursus bagi meningkatkan kemahiran yang dimiliki mereka seperti kemahiran menjahit, bertukang dan lain-lain kemahiran yang wajar.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada syarat dan keperluan difikirkan bersesuaian untuk disalurkan kepada penerima berkenaan.
Sehubungan itu, inisiatif Program Inspirasiku MY H.A.U.S dengan kerjasama YaPEIM ini diharap mampu memberi manfaat kepada kumpulan sasar sekali gus meningkatkan taraf hidup serta keupayaan penerima untuk keluar dari kepompong kemiskinan.