Program Korban Perdana YaPEIM 1445H

Tumpat, 20 Jun 2024 – Sebanyak dua ekor lembu telah diinfak oleh YaPEIM kepada pelajar SK Pulau Beluru, Kg. Teluk Renjuna pada tahun ini menerusi Program Korban Perdana YaPEIM 1445H bersempena dengan Program Pembangunan Komuniti YaPEIM (PPKY).

Program bermula seawal jam 6.30 pagi bagi acara penyembelihan lembu dan aktiviti melapah daging korban. Orang kampung, guru-guru dan warga YaPEIM bersama-sama bergotong-royong bagi menjayakan program korban ini.

Program Korban Perdana YaPEIM ini disempurnakan oleh Puan Hajjah Sharina binti Ramli, Ketua Divisyen Pengagihan YaPElM diiringi wakil Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, En. Kamal Ruzaman bin Hassan.

YaPEIM turut menyampaikan bakul makanan kepada 50 buah keluarga di sekitar Kg. Teluk Renjuna yang tergolong dalam kalangan keluarga B40.

Selain itu, sumbangan tunai RM500 diberikan kepada keluarga pelajar sekolah yang terlibat dalam musibah dan bencana melalui program Inspirasi Prihatin YaPEIM.

Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang Tabung Amanah YaPEIM kerana melalui sumbangan yang diterima dapatlah YaPEIM melaksanakan pelbagai program yang bermanfaat termasuk program ini.