KOTA KINABALU, 9 Mac 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM47,000 bagi program Ramadan MADANI YAPEIM peringkat negeri Sabah yang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud di Politeknik Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Sumbangan berupa bantuan tunai YAPEIM Didik berjumlah RM100 seorang diberi kepada 100 pelajar Politeknik Kota Kinabalu; 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya; 50 pelajar SMK Pekan Telipok; 50 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa dan kepada 50 pelajar SK Pekan Telipok yang keseluruhan berjumlah RM30,000.
Dalam masa sama, YAPEIM turut menaja pelaksanaan majlis berbuka puasa kepada 300 penerima manfaat dan 100 tetamu jemputan berjumlah RM12,000 dan lain-lain kos seperti urusan teknikal dan pengangkutan berjumlah RM5,000.
Hadir sama Ketua Divisyen Pembangunan Sosioekonomi YAPEIM Encik Muhamad Khairul Anuar bin Ibrahim.
Program Ramadan MADANI YAPEIM dianjur bertujuan menyantuni kumpulan sasar sebagai persiapan untuk berbuka puasa serta persediaan menyambut hari raya Aidilfitri. Di samping itu sebagai usaha bersepadu YAPEIM dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti teras bagi tahun 2025 iaitu teras bantuan kemasyarakatan dan bantuan pendidikan.
YAPEIM menjangkakan program ini akan memberi manfaat kepada 7,700 pelajar terpilih dari IPT serta sekolah menengah/rendah dan 2,600 golongan memerlukan yang dibahagikan mengikut pelajar yang dikenalpasti oleh IPT masing-masing yang berada dalam kategori keluarga miskin/miskin tegar, penerima manfaat Program Didik MADANI pada tahun lalu yang terbabit sebagai urusetia pada program Ramadan MADANI YAPEIM pada kali ini dan pelajar sekolah.
Untuk makluman pada 2024 YAPEIM telah memperkenalkan bantuan pendidikan kepada pelajar IPT melalui Program Didik MADANI yang merupakan inisiatif baharu dengan menyasarkan pelajar dalam kalangan B40/asnaf dengan objektif utama untuk membantu meringankan jumlah pembayaran yuran pengajian.
Program yang memanfaatkan pelajar di 20 universiti awam itu telah disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar. Susulan daripada penganjuran Program Didik MADANI itu maka pihak YAPEIM bersetuju mewujudkan Program Ramadan MADANI YAPEIM bagi membantu pelajar-pelajar serta mereka yang memerlukan.
Secara keseluruhan sejak tahun 1985 hingga Disember 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM711 juta kepada 14 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi/keusahawanan, bantuan pendidikan dan bantuan kemasyarakatan.








