Sebanyak 12 resolusi berjaya dicapai melalui penganjuran FSY2024

2 Oktober 2024 – Sebanyak 12 resolusi berjaya dicapai hasil dua hari penganjuran Forum Serantau YAPEIM 2024 (FSY2024) di Hotel Putrajaya Marriott, Putrajaya.

Antara 12 resolusi itu adalah, usaha menggubal dasar-dasar ekonomi dan kewangan yang berteraskan pembangunan ekonomi Islam yang inklusif dan mampan dipertingkatkan oleh Kerajaan bagi tujuan membolehkan dan memudahkan pengamal industri terus melaksana inisiatif atau program baharu yang efektif lagi efisyen yang benar-benar dapat menepati tujuan serta mencapai manfaat dan impak pada tahap optimum.

Yang kedua, memperkasa gandingan dan komunikasi antara sektor Kerajaan, swasta, agamawan dan masyarakat sivil agar membina sinergi yang diperlukan bagi merancakkan lagi pembangunan ekonomi Islam dan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, resolusi turut mengajak semua pihak sama ada Kerajaan, swasta mahupun masyarakat sivil meneruskan usaha memerangi kemiskinan dan kesenjangan melalui kerjasama jalinan strategik demi mencapai kesaksamaan dan kemakmuran masyarakat.

Terdahulu, majlis penutupan FSY2024 disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YAPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus, Ahli LPA YAPEIM Profesor Dato’ Dr Saadiah binti Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Majlis Pembukaan FSY yang dihadiri kira-kira 500 peserta dari dalam dan luar negara.

FSY2024 menghimpunkan kira-kira 60 penceramah dan ahli panel berpengalaman antaranya dari Indonesia, Kemboja, Singapura, Thailand dan United Kingdom, selain dari Malaysia.

Dengan tema “Memperkasa Ekonomi MADANI Melalui Sinergi Rangkaian Serantau” antara perkara yang dikupas termasuklah memerangi kemiskinan tegar dan kesenjangan; kewangan Islam, teknologi kewangan atau fintech dan ekonomi bernilai tinggi; ekonomi hijau dan kelestarian; ekonomi digital; keusahawanan; belia, kemahiran dan pekerjaan; industri halal dan pelancongan Islam; dan memperkasa institusi dan agensi Islam.

Loading