Sumbangan Program Ziarah Madani YaPEIM

Sempena Hari Raya Aidiladha 1445H, YaPEIM menerusi Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri Kedah & Perlis telah melaksanakan Program Ziarah Madani (PZM) YaPEIM bertempat di Masjid Al-Ihsan, Kg Tupai, Sik Kedah baru-baru ini.

Program PZM ini meliputi Program Infaq Qurban YaPEIM, Program Foodbank, serahan sumbangan Pendidikan dan Program sumbangan musibah/ bencana. Kos keseluruhan program adalah sebanyak RM24,600.

Program bermula dengan acara penyembelihan tiga ekor lembu termasuk seekor lembu yang diinfaq oleh YaPEIM. Proses melapah, membahagikan daging dan tulang mengambil masa yang singkat dengan penglibatan ramai penduduk kampung bersama-sama bergotong-royong untuk program kali ini.

Program diakhiri dengan agihan daging korban kepada asnaf, serahan 100 pek Foodbank, serahan bantuan kewangan kepada 20 pelajar cemerlang dan serahan sumbangan musibah bencana kepada 10 orang kampung yang memerlukan. Serahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh Puan Siti Salwa binti Mawardee, Ketua Divisyen Undang-Undang dan Kesetiausahaan YaPEIM.

Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang Tabung Amanah YaPEIM kerana melalui sumbangan yang diterima dapatlah YaPEIM melaksanakan pelbagai program yang bermanfaat termasuk program ini.