Tokoh perniagaan dan kewangan Islam Tokoh Utama Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan

11 Julai 2024 – Tokoh perniagaan dan kewangan Islam Tan Sri Abdul Rashid Hussain petang tadi menerima Anugerah Tokoh Utama Ma’al Hijrah Wilayah Persekutuan 1446H/2024M.

Beliau menerima anugerah tersebut daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di Masjid Wilayah Persekutuan.

YB Dato’ Setia Haji Mohd Naim turut menyampaikan Anugerah Khas Ma’al Hijrah kepada empat individu yang lain.

Mereka adalah Cik Nur Ain Sumaiyah @ Sumitra binti Valaitham (Kategori Pendakwah); Encik Hafiz Oon Jun Seong (Kategori Korporat); Dr. Asmawati binti Muhamad (Kategori Ilmuwan) dan Tuan Haji Mohd Aizul bin Adnan (Kategori Pengurusan Masjid).

YaPEIM selaku sebuah daripada 14 agensi agama di bawah YB Menteri Agama turut berbesar hati menaja hadiah wafer emas yang turut disampaikan YB Menteri kepada kelima-lima penerima anugerah.

Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed turut hadir pada majlis sambutan berkenaan.

YaPEIM juga turut diberi kesempatan membuka reruai Rakan Strategik Infaq dan membawa bas bergerak Ar Rahnu YaPEIM sepanjang majlis berkenaan.