YaPEIM Gold Sdn Bhd yang juga institusi milik penuh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) terus ke hadapan dalam menjadi pelopor kepada urus niaga barangan kemas di negara ini melalui jenama YaPEIM Gold.
Terbaru YaPEIM Gold Sdn Bhd memperkenalkan produk Dinar Emas 999.9 dan Wafer Emas Edisi Asma ‘Ul Husna yang mampu menarik minat orang ramai terutama masyarakat Islam untuk memiliki kedua-dua produk terbaharu ini.
Kedua-dua produk ini juga telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mana beliau turut menyatakan keyakinan ia adalah tindakan yang hebat dan satu usaha perniagaan yang cukup baik.
Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan memaklumkan, kedua-dua produk ini boleh didapati di Outlet YaPEIM Gold di Kompleks Beli Belah NU Sentral, Kuala Lumpur, selain boleh dibeli secara atas talian melalui YaPEIM Digital Store di platform Avana.
Beliau berkata, Produk Dinar Emas YaPEIM Gold 4.25 gram yang diperkenalkan ini mempunyai diameter 25milimeter dengan gambar bangunan Perdana Putra sebagai inspirasi pada ukirannya.
“Kini Dinar emas dijual pada harga pasaran RM1230 bagi setiap keping. YaPEIM Gold juga meletakkan sasaran untuk mengeluarkan 5000 kepingan Dinar Emas setahun yang mana kami yakin untuk terus konsisten dalam menawarkan produk berkaitan emas dengan rekaan eksklusif kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, YaPEIM Gold turut optimis produk ini mampu memenangi hati pelanggan khususnya umat Islam memandangkan nilai sejarah Islam yang terdapat pada mata wang Dinar yang digunakan pada zaman dahulu.
Untuk rekod Dinar merupakan mata wang berasaskan emas yang dicadangkan digunakan di seluruh dunia terutama bagi negara-negara Islam. Ia juga menjadi mata wang rasmi negara Madinah pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW sebelum diperluaskan pada zaman Khulafa al-Rasyidin.
Dalam masa sama, Parihah memaklumkan koleksi wafer emas edisi zikir Asma ‘Ul Husna (Ar Rahman&Ar Rahim) yang dikeluarkan dengan kolaborasi hebat bersama pelukis tersohor tanah air, YM Raja Azhar Raja Lop Idris, sudah mula dijual dan ditempah pelanggan sejak 1 November lalu.
“Bermula 1 November kita mengeluarkan dua kepingan wafer emas edisi zikir Asma ‘Ul Husna yang mana kita akan keluarkan sehingga 99 keping yang akan dilakukan secara berperingkat, secara berkala dengan dua keping setiap bulan.
“Satu kepingan dijual pada harga RM325 atau RM330 sekeping dan koleksi wafer emas edisi zikir Asma ‘Ul Husna ini juga boleh dibeli secara kombo beserta album. Produk ini juga boleh dibeli orang ramai menerusi pembelian di ‘YaPEIM Digital Store’ melalui aplikasi digital Avana,” katanya.
Menurutnya, ‘YaPEIM Digital Store’ merupakan inisiatif YaPEIM dalam merancakkan urus niaga menerusi perdagangan sosial pada masa kini dan dalam masa sama inisiatif ini juga membolehkan sesiapa sahaja yang menjadi ejen akan memperoleh insentif menerusi komisyen jualan.
Katanya, antara kelebihan yang diperoleh pelanggan apabila membeli dengan YaPEIM Gold adalah segala produk yang dibeli diterima di 212 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM untuk gadaian
Jelasnya, YaPEIM Gold juga tidak mengenakan sebarang caj premium selain jaminan harga belian balik yang tinggi dengan ‘spread’ sebanyak 8%.