Warga YAPEIM Lafaz Ikrar Bebas Rasuah

16 Disember 2024 –  Warga Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menzahirkan Lafaz Ikrar dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Majlis Sambutan Hari Integriti & Ikrar Bebas Rasuah YAPEIM 2024, di Kinrara, Puchong, pagi ini.

Program hasil kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dimulakan dengan ceramah kesedaran yang disampaikan Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik, Bahagian Pendidikan SPRM Puan P/PKPj Aini binti Awang Muda dengan tajuk Amanah dan Akauntabiliti: Apakah Peranan Warga YAPEIM Dalam Memerangi Rasuah.

Ceramah ini memberi tumpuan kepada jenis-jenis kesalahan rasuah, kesannya terhadap masyarakat dan institusi, serta langkah-langkah pencegahan. Warga YAPEIM turut diberi pendedahan mengenai kepentingan melaporkan sebarang aktiviti rasuah dan bagaimana untuk mengenali tanda-tanda awal amalan tersebut.

Majlis disempurnakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus dan sesi bacaan Ikrar Bebas Rasuah diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Ameer Ali bin Vali Mohamed.

Ikrar ini mencerminkan usaha bersama dalam memupuk budaya integriti, ketelusan, dan menolak amalan rasuah di semua peringkat.

Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program ini. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan untuk memastikan generasi masa hadapan dilengkapi dengan nilai-nilai integriti yang kukuh.