Petaling Jaya, 6 April 2022 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan RM1.12 juta bagi agihan juadah berbuka puasa pada program Inspirasi Qaseh Ramadhan 1443H kali ini.
Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Awang Musran Tawil berkata, sebanyak 500 pek juadah berbuka diagihkan di 14 negeri setiap hari selama 20 hari bermula Isnin lalu.
Katanya, agihan juadah berbuka seperti bubur lambuk dan nasi berlauk itu juga sebagai satu tradisi yang dilakukan pihak YaPEIM sejak beberapa tahun lalu.
“500 pek juadah ini kita agihkan selama 20 hari di seluruh negeri termasuk di sekitar kawasan ibu pejabat YaPEIM di Mentari Business Park, Bandar Sunway. Kita agihkan bermula pada jam 4 petang,” katanya selepas mengagihkan sumbangan juadah berbuka di perkarangan ibu pejabat YaPEIM, di sini, hari ini.
Tidak ketinggalan, Awang turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh penyumbang Tabung Amanah YaPEIM kerana dengan sumbangan yang diterima membolehkan ia disampaikan Kembali kepada golongan yang memerlukan.
Beliau yakin dan percaya, tradisi sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sekali gus memanfaatkan dana yang diterima pihak YaPEIM.