Sandakan, 20 September – “Sebelum ini rumah saya kerap dinaiki air apabila berlaku fenomena air pasang, kadang kala air akan naik setinggi 1.5 meter menyebabkan ada bahagian rumah yang terjejas.
“Saya bersyukur apabila YaPEIM sudi menghulurkan sumbangan tunai sekali gus rumah saya dapat dibaik pulih.” Kata Sara Abdul Majid, 67, penerima manfaat pada program penyerahan Foodbank YaPEIM Musaadah Covid-19 dan gotong royong membaik pulih rumah asnaf Di Pulau Nunuyan Laut, di sini hari ini.
Sara berkata, beliau tidak menyangka gimik gotong royong membaik pulih rumahnya dilakukan sendiri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang selama ini dia tidak pernah terfikir akan bersemuka secara dekat.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kerana turut menerima sumbangan Foodbank YaPEIM berupa barangan keperluan asas seperti seperti beras, minyak masak, tepung dan sardin.
Katanya, bantuan keperluan asas yang diagihkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarganya.
Sementara itu seramai 200 penerima Foodbank YaPEIM menerima bantuan yang diagihkan sendiri Dr Zulkifli.
Dr Zulkifli turut mengumumkan agihan bantuan RM1,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Nunuyan Laut serta RM1,000 untuk pembangunan dan aktiviti di masjid perkampungan berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan dan barisan pengurusan YaPEIM.