KUCHING, 10 Februari 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bersama rakan strategik telah menyerahkan dua buah rumah di bawah inisiatif program Sinar Lestari melibatkan peruntukan berjumlah RM230,000. YAPEIM juga menyalurkan bantuan Sinar Kasih berjumlah RM12,000 kepada sebuah keluarga yang kematian pencari nafkah.
Lima anak kepada Allahyarham Tony bin Sumiran yang berusia antara 4 bulan dan 11 tahun menerima bantuan Sinar Kasih yang melibatkan bantuan RM200 seorang selama 12 bulan. Allahyarham meninggal dunia pada 21 Mei 2024. Sumbangan diterima balu Allahyarham, Puan Shafira binti Rasli.
Sementara itu, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (PPNS), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) berupa rakan pelaksana strategik YAPEIM bagi Program Sinar Lestari di Sarawak.
Encik Alizan bin Abu Seman dari Kampung Pasir Pandak, Jalan Santubong, Kuching dan Encik Farhan Nur Aiman bin Abdullah dari Kampung Asajaya Laut, Asajaya berupa buruh rencam menerima masing-masing menerima kunci rumah tersebut.
Kerja-kerja pembinaan rumah Encik Alizan telah dimulakan sejak 10 Mei 2024 dan siap sepenuhnya pada 20 Disember 2024 dengan peruntukan RM80,000 daripada YAPEIM dan bantuan tambahan daripada pejabat Ahli Parlimen Santubong sebanyak RM30,744.
Bagi Encik Farhan Nur Aiman pula, kerja-kerja pembinaan bermula pada 14 Ogos 2024 dan siap pada 1 Januari 2025 dengan bantuan RM80,000 daripada YAPEIM dan peruntukan tambahan daripada Bank Islam Malaysia Berhad sebanyak RM34,519.
Pemilihan dan pengesahan kedua-dua penerima manfaat kategori eKasih ini telah dilakukan oleh PPNS, ICU JPM pada 21 September 2023.
Sesi serahan rumah Encik Alizan di Kampung Pasir Pandak, Santubong telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim dan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Ameer Ali bin Vali Mohamed.
Terdahulu, serahan rumah Program Sinar Lestari kepada Encik Farhan Nur Aiman telah dilakukan di rumahnya di Kampung Asajaya Laut dan disempurnakan oleh Tuan Ameer Ali.
Dalam masa sama, YAPEIM turut menyampaikan bantuan tambahan iaitu pakej sokongan kelestarian perniagaan sebanyak RM3,000 seorang bagi membantu penerima manfaat memperoleh pendapatan tambahan.
YAPEIM juga sedang mempertimbang untuk menyalurkan sumbangan pendidikan kepada anak-anak penerima manfaat sebagai usaha membantu anak-anak miskin ini cemerlang dalam pendidikan.
Tuan Abdul Khudus berharap Program Sinar Lestari YAPEIM di negeri Sarawak ini dapat memberi keceriaan kepada penerima manfaat selepas memperoleh kediaman yang lebih selesa daripada sumbangan masyarakat yang disalurkan kepada Tabung Amanah YAPEIM.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Dato’ Sri Hajah Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong kerana meluluskan peruntukan tambahan bagi menjayakan Program Sinar Lestari YAPEIM di Santubong dan kepada Bank Islam Malaysia Berhad yang memberi peruntukan tambahan bagi Program Sinar Lestari YAPEIM di Asajaya.
Program Sinar Lestari YAPEIM telah dilancar pada tahun 2020 dan sehingga Januari 2025, YAPEIM telah memperuntukkan RM13.5 juta membabitkan 293 buah projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara. Sebanyak 167 projek baik pulih dan 126 projek bina baharu telah dilaksanakan dengan 199 projek telah siap sementara baki 94 projek sedang dalam proses pembinaan.
Secara keseluruhan sejak tahun 1985 hingga 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM710 juta kepada 10 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan pembangunan usahawan, bantuan pendidikan dan bantuan kemasyarakatan masing-masing melalui inisiatif-inisiatif YAPEIM Niaga, YAPEIM Didik dan YAPEIM Prihatin.













