YAPEIM, GDM meterai MoU, perkukuh kerjasama dalam membantu masyarakat memerlukan

28 Ogos 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha memanfaatkan masyarakat yang memerlukan di negara ini.

Dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat YAPEIM di Petaling Jaya petang ini, YAPEIM diwakili Pengerusi Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Prof. Dato’ Dr Saadiah binti Mohamad manakala GDM diwakili Pengerusi Ir Haji Wan Ahmad Nizar bin Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif Tuan Abdul Ghaffar bin Muhamad Sharif.

MoU bagi tempoh setahun itu antara lain bertujuan mengukuh, menggalak dan membangunkan kerjasama antara YAPEIM dan GDM dalam menjayakan program dakwah dan kebajikan serta merancang kerjasama bagi membantu menjayakan program yang bersesuaian yang membawa manfaat kepada kedua belah pihak.

Selain itu, ianya juga untuk menyelaras program dakwah dan kebajikan dengan menyampaikan risalah Islam yang sebenar serta membetulkan salah faham terhadap Islam dalam kalangan masyarakat majmuk.

Ia juga bagi menjayakan program dakwah kebajikan yang bersesuaian serta membawa manfaat kepada kumpulan mualaf dan keluarga B40.

Majlis menandatangani MoU turut dihadiri barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed dan warga kerja YAPEIM.

Loading