Putrajaya, 17 Mei 2022 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengambil pendekatan dinamik apabila melebarkan sayapnya dalam memperkenalkan aplikasi digital YaPEIM (DiYa) bagi memberi kemudahan kepada pelanggannya.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Hj Idris Ahmad berkata, DiYa yang dibangunkan pada November 2020 dan mula diperkenalkan kepada umum pada 1 Mac 2021 lalu bakal menjadi platform dalam talian yang mampu meningkatkan keupayaan YaPEIM dalam memantapkan teras perniagaan dijalankan terutama membabitkan perusahaan emas dan pajak gadai.
“Sejak aplikasi ini mula digunakan secara rasmi pada tahun lalu, seramai 13,546 pelanggan yang telah mendaftar dan jumlah ini dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa memandangkan ia mula diterima ramai,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan aplikasi DiYa di The Everly Hotel Putrajaya, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Hj. Mohd Redza Shah Abdul Wahid.
Sementara itu, Dato Hj Mohd Redza memberitahu, pihaknya menyasarkan sekurangnya 100,000 pengguna yang akan memuat naik aplikasi DiYa berakhir tahun ini.
Katanya, aplikasi DiYa ini turut memberi akses kepada pelanggan setia YaPEIM menggunakan perkhidmatan Akaun Emas YaPEIM (SERY), Ar Rahnu YaPEIM, YaPEIM Gold Digital Store, YaPEIMALL dengan lebih pantas dan mudah.
Aplikasi DiYa juga turut memberi kemudahan buat mereka yang telah memuatnaik aplikasi itu untuk menyumbang atau bersedekah secara lebih pantas dan mudah melalui pautan yang tersedia.
Melalui aplikasi ini juga YaPEIM melihat ia bakal menjadi ‘Game Changer’ kepada organisasi ini untuk terus berkembang dan kekal relevan kepada masyarakat.