YAPEIM lancar HPC, tingkat prestasi dengan budaya kerja progresif

28 Ogos 2024 – Pra-pelancaran Pelan Transformasi Budaya Organisasi High Performance Culture (HPC) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dirasmi petang tadi di Ibu Pejabat YAPEIM di Mentari Business Park, Petaling Jaya.

Projek HPC bertujuan memperkasa prestasi dan budaya kerja warga YAPEIM seperti yang digariskan dalam Projek Najjah, sebuah projek lima tahun (2023-27) yang mahu meletakkan YAPEIM sebagai sebuah badan pembangunan ekonomi dan sosial yang cemerlang dalam aspek-aspek pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus dalam ucapan perasmiannya berkata, Projek HPC ini amat penting kerana memantap sumber manusia dan budaya organisasi berupa salah satu elemen penting dalam usaha transformasi mana-mana organisasi.

Focus Learning Consultants telah dilantik bagi membantu YAPEIM menjayakan Projek HPC ini yang akan mengambil masa 10 bulan untuk pelaksanaannya.

“Saya berharap Focus Learning Consultants dapat mengenal pasti, membangun dan melaksanakan pemacu transformasi budaya ke arah budaya berprestasi tinggi dan membangunkan satu dashboard serta garis panduan untuk YAPEIM gunakan bagi membantu pemantauan dan penilaian pelaksanaan Projek HPC,” kata Datuk Mohd Radzif.

Turut hadir Pengarah Urusan Focus Learning Consultants Tuan Haji Abdul Malik bin Abdul Rahman serta ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah, pengurusan tertinggi dan warga kerja YAPEIM.

Projek HPC ini melibatkan penilaian komprehensif terhadap corak budaya organisasi, pembangunan pelan strategik transformasi budaya secara holistik dan tatacara pelaksanaan Projek HPC secara menyeluruh ke atas YAPEIM dan anak-anak syarikatnya.

Datuk Mohd Radzif percaya usaha gigih dengan kebijaksaan serta istiqomah dalam kalangan warga kerja YAPEIM akan menjadikan matlamat Projek HPC ini tercapai.

Sementara itu, Datuk Mohd Radzif turut menyerahkan watikah pelantikan kepada lapan ahli sekretariat Projek HPC.

Loading