YAPEIM lancar PPKY Kedah, salur bantuan berjumlah RM150,000

14 Disember 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) lancar Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) Negeri Kedah di Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, Sungai Petani pagi ini dengan menyalurkan bantuan berjumlah RM150,000. 

Majlis pelancaran projek tiga tahun itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Perancangan dan Pengurusan PPD Negeri Kedah Tuan Haji Mahadhir bin Ismail.

PPKY berupa satu projek dengan pendekatan holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat melalui pelaksanaan aktiviti teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial, yang termasuk pembangunan usahawan dan kebajikan.

Sumbangan yang disalurkan hari ini berupa bantuan tunai RM200 kepada 60 keluarga daripada kumpulan B40, pesakit kronik dan anak yatim di kawasan sekitar Sungai Petani berjumlah RM12,000; sumbangan satu set makanan bernilai RM100 kepada 200 keluarga berjumlah RM20,000; sumbangan bantuan kewangan pendidikan RM50 kepada 150 pelajar berjumlah RM7,500.

YAPEIM turut menyalurkan sumbangan bagi pelaksanaan program motivasi Celik Kendiri kepada 350 pelajar berjumlah RM2,000; dan sumbangan keraian serta penganjuran program yang memanfaatkan 800 orang berjumlah RM18,500. 

Dalam masa sama, YAPEIM turut memperuntukan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU JPM) Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM90,000 bagi mengenal pasti tiga calon penerima yang layak untuk dipertimbangkan bantuan baik pulih premis perniagaan Program Sinar Lestari YAPEIM. 

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus; Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kesejahteraan Rakyat Encik Khairul Hisham bin Husni; Ketua Divisyen Pengagihan YAPEIM Puan Hajah Sharina binti Haji Ramli dan Pengerusi Masjid Sultan Abdul Halim Taman Ria Jaya Ustaz Yusuf bin Abdullah.

Sehingga kini YAPEIM telah melancarkan PPKY di sembilan buah masjid. Lapan yang dilancar sebelum ini ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Sabah, Perak dan Sarawak.