Tempoh 38 tahun merupakan suatu jangka masa yang cukup lama dalam mematangkan sesebuah institusi. Jika dibandingkan dengan kehidupan manusia pastinya pelbagai pencapaian dan kejayaan telah dikecapi pada usia itu.
Begitu juga bagi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang genap berusia 38 tahun pada hari ini (20 Julai 2022) di mana pelbagai agenda telah dilaksanakan serta kejayaan dikecapi dalam tempoh itu. Malah dalam tempoh itu juga YaPEIM telah berjaya mengharungi ujian dan cabaran untuk menjadikan institusi ini lebih berdaya saing.
Alhamdulillah, sepanjang tempoh 38 tahun ini penubuhan Ar Rahnu YaPEIM banyak membantu masyarakat dalam mendapatkan modal kewangan melalui emas sebagai instrumen cagaran. Menerusi Skim Mikro Kredit Ar Rahnu YaPEIM ramai usahawan berjaya dilahirkan sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.
Apabila bercakap mengenai amal jariah, YaPEIM juga tidak ketinggalan dalam ‘menjuarainya’. Pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan menerusi Teras Sosioekonomi dan Amal Jariahnya. Pastinya kumpulan sasar seperti fakir miskin, asnaf, keluarga B40, pelajar miskin dan ramai lagi telah menerima manfaat hasil usaha yang dilakukan sejak puluhan tahun lalu.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada penyumbang Tabung Amanah YaPEIM serta mereka yang menginfaqkan gaji masing-masing menerusi Skim Infaq Gaji YaPEIM (sebelum ini dikenali Skim Potongan Gaji). Sumbangan yang diterima YaPEIM ini telah banyak membantu golongan memerlukan di luar sana.
Kini apa yang lebih penting, YaPEIM perlu lebih kreatif dan dinamik bagi memastikan institusi kewangan Islam ini kekal relevan dalam mendepani cabaran mendatang. 38 tahun dilalui adalah tempoh yang cukup lama dan pastinya YaPEIM ingin terus kekal untuk tempoh puluhan tahun akan datang.
Buat warga kerja YaPEIM, teruskan kerja keras anda dan marilah kita mengekalkan semangat kebersamaan yang telah dibina bagi memastikan YaPEIM terus melonjak memacu kejayaan.