YAPEIM, MRT Corp salur bantuan berjumlah RM155,000 melalui PPKY Pulau Pinang.

15 Disember 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan MRT Corp menyalurkan bantuan berjumlah RM155,000 dan lancar Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) Negeri Pulau Pinang di Masjid Al-Qahhar, Permatang Damar Laut di Bayan Lepas, pagi ini.  

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang Dr. Mohd Suhairi bin Abdullah mewakili Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid.

PPKY berupa satu projek dengan pendekatan holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat melalui pelaksanaan aktiviti teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial. 

Sumbangan yang disalurkan hari ini berupa bantuan tunai RM300 kepada 52 keluarga daripada kumpulan B40, pesakit kronik dan ditimpa musibah di bawah kariah Permatang Damar Laut dan Permatang Tepi Laut berjumlah RM15,600; sumbangan satu set makanan bernilai RM100 kepada 102 keluarga berjumlah RM10,200.

Turut disalurkan sumbangan bantuan kewangan RM50 kepada 250 pelajar berjumlah RM12,500; sumbangan bagi pelaksanaan program motivasi Celik Kendiri kepada 250 pelajar berjumlah RM4,000; dan sumbangan keraian serta penganjuran program yang memanfaatkan 850 orang berjumlah RM22,700. 

Untuk rekod, MRT Corp menyalurkan RM50,000 bagi Program PPKY Negeri Pulau Pinang pada hari ini.

Dalam masa sama, YAPEIM turut memperuntukan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang (ICU JPM) Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM90,000 bagi mengenal pasti tiga calon penerima yang layak untuk dipertimbangkan bantuan baik pulih premis perniagaan Program Sinar Lestari YAPEIM. 

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus; Ketua Perniagaan dan Ketua Pegawai Kewangan MRT Corp Tuan Shahrin bin Imran; Ketua Divisyen Pengagihan YAPEIM Puan Hajah Sharina binti Haji Ramli dan Pengerusi Masjid Al-Qahhar Tuan Md Razief bin Noor.

Sehingga kini YAPEIM telah melancarkan PPKY di sepuluh buah masjid. Sembilan yang dilancar sebelum ini ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Sabah, Perak, Sarawak dan Kedah.