SUBANG JAYA, 09 APRIL – Gabungan kepakaran dan kemampuan dalam melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya maju serta berpandangan global bakal direalisasikan menerusi jalinan kerjasama strategik dua hala di antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).
Selaras dengan itu, satu memorandum persefahaman telah disepakati dan ditandatangani oleh YaPEIM dan MTDC dan secara rasminya, memorandum persefahaman yang telah dimeterai ini disempurnakan penyerahannya di dalam Majlis Penyerahan pada hari ini.
YaPEIM dan MTDC telah mengambil kesepakatan yang dipersetujui di dalam MOU yang telah ditandatangani dengan objektif kerjasama iaitu menjalinkan kerjasama untuk membina jaringan dan platform strategik bagi manfaat kumpulan sasaran serta meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya saing dan inovatif melalui program-program kerjasama YaPEIM dan MTDC.
Di samping itu juga, MOU ini juga memfokuskan untuk menambah baik keupayaan dan kebolehan usahawan YaPEIM melalui suntikan dan penggunaan teknologi yang bersesuaian selari dengan arus permodenan masa kini dan juga menjalankan program kerjasama dalam pembangunan usahawan yang berteknologi.
Melalui inisiatif ini juga pihak YaPEIM dan MTDC dapat meluaskan peluang pemasaran usahawan melalui platform-platform digital, rangkaian perniagaan YaPEIM dan MTDC serta bimbingan yang diperoleh daripada program-program yang dijalankan.
Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman Antara YaPEIM dan MTDC yang berlangsung di Geno Hotel, Subang Jaya yang disempurnakan antara Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan bersama Mohammad Farish Nizar Othman, Pengarah Perkhidmatan Korporat MTDC dan disaksikan oleh YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Turut sama menyaksikan penyerahan ini adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Pengerusi MTDC Tan Sri Abd Rahman Mamat.
Sebagai Perlaksanaan Rintis, YaPEIM dan MTDC telah memulakan program yang melibatkan usahawan-usahawan terpilih di dalam Business Accelerator Programme (Program Pecutan) yang mempunyai objektif untuk membantu dalam pembangunan usahawan yang berpotensi dan berdaya saing untuk berjaya ke satu tahap yang lebih baik.
Program Business Accelerator Programme ini juga turut sama memfokuskan dalam menyediakan bimbingan, bantuan teknikal dan khidmat nasihat kepada usahawan untuk membina modal perniagaan yang efektif dan realistik.
Selain itu, ianya juga menjadi platform untuk memberi ilmu dan panduan dalam usaha membangunkan rancangan mengkomersialkan produk dan inovasi syarikat.
Sejumlah 80 syarikat terpilih pada program ini membabitkan seramai 160 usahawan yang terdiri daripada individu atau teras utama setiap syarikat berkenaan.
Impak daripada pelaksanaan kerjasama ini adalah YaPEIM memfokuskan dalam membentuk masyarakat Malaysia yang berpemikiran dan berbudaya keusahawanan. Ianya juga dapat meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif serta dapat mempertingkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi melalui networking.
Antara impak lain adalah meningkatkan peluang untuk membantu usahawan yang berpotensi dalam produk berteknologi dengan program-program yang bersesuaian yang dilaksanakan oleh pihak YaPEIM dan MTDC.
Bagi usahawan yang terlibat pula dapat meningkatkan pendapatan, ilmu dan mengembangkan perniagaan terutama sekali dalam menyerapkan solusi teknologi industri 4.0 di dalam perniagaan mereka.
Peluang untuk usahawan mengembangkan perniagaan dan memperkenalkan produk ke seluruh Malaysia dan di pasar ke luar Negara, dan masyarakat turut sama dapat manfaat daripada perkembangan perniagaan ini melalui peluang pekerjaan yang ada dan dapat mempelajari teknik perniagaan dan keusahawanan.
Pengembangan perniagaan ini dapat membuka ruang golongan asnaf , miskin tegar, miskin, mudah miskin, kumpulan B40 dalam meningkatkan taraf hidup.
Dalam masa yang sama, YaPEIM turut melancarkan semula Laman e-dagang YaPEIM yang sebelum ini dikenali sebagai CMasa dan kini telah dijenamakan semula sebagai YaPEIMall.
YaPEIMall ini merupakan platform bagi usahawan – usahawan untuk memasarkan produk mereka secara digital. YaPEIMall ini boleh di akses melalui Aplikasi DiYa – Digital YaPEIM yang dimuat turun melalui App Store bagi pengguna platform iOS, Play Store bagi pengguna platform Android dan App Gallery bagi pengguna platform Harmony OS.