YAPEIM Raikan Jasa Lapan Pegawai dalam Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih

27 Februari 2025 – YAPEIM hari ini menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada lapan pegawai yang bersara pilihan dan menamatkan perkhidmatan mereka melalui Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih yang berlangsung di ibu pejabat YAPEIM.

Majlis penuh penghormatan ini didedikasikan kepada Puan Parihah binti Hasan, Puan Sharina binti Hj. Ramli, Puan Jasni binti Othman, Puan Sabariah binti Zainal Abidin, Puan Nik Amalina binti Nik Ismail, Puan Amniza Ahmad, Puan Siti Azura binti Samsudin, dan Encik Azizi bin Mamat, individu yang telah mencurahkan bakti, tenaga, dan komitmen kepada YAPEIM sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Setiap daripada mereka bukan sekadar rakan sekerja, tetapi juga keluarga yang telah bersama-sama membina kecemerlangan institusi ini. Dalam suasana yang penuh rasa syukur, mereka diraikan dengan penyampaian cenderahati khas sebagai tanda penghargaan. Sesi memotong kek dan bergambar bersama Pengurusan serta warga kerja YAPEIM turut menjadi simbolik kepada detik perpisahan yang penuh makna.

Perjalanan mungkin berbeza selepas ini, namun jasa dan kenangan bersama mereka akan terus terpahat dalam ingatan. YAPEIM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sumbangan yang telah dicurahkan dan mendoakan agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik serta kejayaan dalam apa jua yang bakal ditempuhi.