30 November 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyertai Program Santuni MADANI yang berlangsung di Kuala Selangor, sebagai salah satu rakan strategik Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam program satu pemimpin satu kampungnya.
Program ini memberi fokus kepada pemerkasaan sosioekonomi masyarakat dengan penglibatan pelbagai agensi, termasuk YAPEIM, yang mengambil peranan aktif melalui pelaksanaan aktiviti dan perkhidmatan khusus untuk manfaat penduduk kampung angkat tersebut.
Antara inisiatif yang diketengahkan oleh YAPEIM adalah jualan produk emas melalui jenama YAPEIM Gold, perkhidmatan mencuci emas secara percuma, dan pendaftaran Skim Infaq Gaji YAPEIM yang menawarkan peluang untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara berterusan.
Diadakan di Santuari Kelip-Kelip, Kampung Kuantan, program ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK) JPM YBhg. Datuk Abd Shukor bin Mahmood pagi ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM, YBrs. Tuan Ameer Ali bin Vali Mohamed, bersama wakil-wakil agensi lain di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, pertandingan mewarna, jualan produk Rahmah, dan sumbangan bakul makanan turut dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan antara komuniti dan pihak agensi.
Kehadiran YAPEIM dengan inisiatifnya membuktikan komitmen yayasan ini dalam memperkasa komuniti dan menyokong visi Program Santuni MADANI.
YAPEIM terus komited sebagai sebuah yayasan yang mendukung pembangunan sosioekonomi melalui pendekatan inklusif dan menyeluruh, sejajar dengan aspirasi MADANI.