YaPEIM sumbang dua ekor lembu, anjur ibadah qurban di perkampungan Orang Asli

18 Jun 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berbesar hati menyumbang dua ekor lembu dan menyalurkan bantuan Foodbank kepada 200 keluarga masyarakat Orang Asli dari Batu 12 Gombak, Selangor.

Sumbangan yang juga sebahagian daripada Program Ibadah Qurban YaPEIM 2024 telah berlangsung di Musolla Al-Hidayah Bukit Kala, Batu 12 Gombak hari ini dan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed.

Dengan dua ekor lembu yang disumbang YaPEIM, seramai 14 orang ahli kariah musolla tersebut menjadi penama bagi ibadah kurban pada tahun ini.

Rata-rata penerima manfaat menzahirkan kesyukuran dan gembira sebaik menerima bantuan Foodbank YaPEIM berupa barangan keperluan asas dan daging segar.

Dalam ucapannya, Tuan Haji Ameer memaklumkan YaPEIM menyalurkan sumbangan RM1 juta bagi Program Ibadah Qurban YaPEIM tahun ini yang dilaksanakan di seluruh negara.

Beliau berharap sumbangan yang diterima oleh masyarakat Orang Asli hari ini dapat meringankan beban mereka sekali gus memberi keceriaan sempena sambutan hari raya Aidiladha yang mulia.

Sementara itu, program gotong-royong bermula seawal jam 8 pagi dan turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Gombak dan Petaling yang mengelola kehadiran penduduk Orang Asli dari sekitar Gombak.