2 Januari 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan bantuan berjumlah RM6,900 kepada dua anak mangsa kemalangan maut di kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan pada 23 Disember lalu, petang ini.
Sumbangan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di rumah waris mangsa di Bandar Baru Bangi.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Haji Abdul Khudus bin Mohd Naaim dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Ameer Ali bin Vali Mohamed.
Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, menjadi anak yatim piatu apabila ibu bapa mereka maut di kemalangan tersebut yang juga mengorbankan adik mereka.
Adik Uwais dan adik Sofea selamat daripada kemalangan tersebut dan telah dimasukkan ke Hospital Melaka selama beberapa hari bagi menjalani rawatan.
Bantuan YAPEIM yang diterima mereka hari ini berupa sumbangan Sinar Kasih berjumlah RM4,800; sumbangan bencana berjumlah RM2,000 dan satu set Foodbank YAPEIM bernilai RM100.
Sementara itu waris mangsa yang juga datuk mangsa, Dato’ Marzupi bin Abdul Rahman, merakamkan penghargaan kepada YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im dan YAPEIM atas keprihatinan menziarahi kedua-dua cucunya petang ini.
Katanya, sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat digunakan untuk keperluan harian kedua-dua cucunya dan dapat meringankan beban mereka sekeluarga.
Untuk makluman, bantuan kemasyarakatan yang diberikan ini berupa salah satu daripada tiga teras utama komponen YAPEIM, dua lagi ialah pembangunan usahawan dan bantuan pendidikan. Sejak tahun 1985 hingga 2024, YAPEIM telah mengagihkan sejumlah kira-kira RM710 juta kepada hampir 10 juta penerima manfaat di seluruh negara.