YAPEIM Taja Anugerah  Pengerusi MAIWP Sempena Majlis Konvokesyen ke-17 KPBKL

9 NOVEMBER 2024, SERDANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, hadir meraikan 765 graduan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di Majlis Konvokesyen Ke-17 KPBKL di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, hari ini. 

YAPEIM menjadi rakan strategik dalam penganjuran majlis ini dengan menaja Anugerah Pengerusi MAIWP berupa bar emas 5 gram mutu 999 kepada Saudara Muhammad Firdaus bin Zulkifli dari Diploma Teknologi Maklumat. 

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Nizam bin Yahya, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn. Bhd, Tuan Haji Zuri Zabuddin bin Budiman, Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL Professor Madya Dr. Haji Mohammad Firdaus Low bin Abdullah dan Ketua Divisyen Kewangan YAPEIM En. Azhar bin Ahmad Zaki. 

Berucap di majlis tersebut, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im berkata, “Dalam menjayakan pelan Al-Falah, iaitu Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama (HEA) yang selaras dengan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah dan sejajar dengan aspirasi ‘Membangun Malaysia MADANI’, besarlah harapan saya untuk KPBKL memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan apa yang digariskan dalam pelan Al-Falah, khususnya dalam melahirkan ilmuwan Islam yang kompeten dan holistik sebagai pencetus pembangunan ummah, kini dan masa hadapan.”