Ziarah Madani YAPEIM – Sumbangan RM60,000 Kepada Mangsa Banjir di Serian

SERIAN, 11 Februari 2025 – Seramai 200 mangsa banjir di daerah Serian di Sarawak menerima bantuan musibah banjir berjumlah RM60,000 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dalam program Ziarah Madani YAPEIM.

Serahan bantuan berbentuk RM200 tunai dan set Foodbank bernilai RM100 setiap seorang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim di Dewan Kampung Hulu Serian, di sini, hari ini.

Serahan bantuan musibah banjir ini adalah yang pertama sejak bencana berkenaan mula melanda negeri Sarawak pada minggu lalu. Selain Serian, daerah-daerah lain yang terlibat ialah Miri, Bintulu, Sibu, Samarahan dan Mukah. YAPEIM sedang mengenal pasti beberapa lokasi lain di Sarawak yang boleh dibantu 

Untuk tahun 2024, YAPEIM telah menyalurkan sumbangan berjumlah hampir RM400,000 membabitkan lebih 6,000 penerima manfaat di negeri Sarawak. Manakala sejak tahun 1985 hingga 2024, YAPEIM telah mengagih sejumlah kira-kira RM710 juta kepada hampir 10 juta penerima manfaat di seluruh negara.